Sunday, October 10, 2010 0 comments

Hadiah Ukhuwah

Berfirman Allah Ta’ala dalam surah Al-Hujrat ayat 10 :-


﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُواْ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُواْ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ﴾

Yang bermaksud: Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu yang bertelagah itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu peroleh rahmat.



Saudaraku,

Ukhuwah itu menjana bahagia,

Biarpun dengan linangan air mata,

Kerana ukhuwah itu dibina,

Atas asas iman kepada Allah Yang Maha Esa,

Iaitu Pencipta kita,

Sumber kebahagiaan kita,

Dan tempat pergantungan kita.

DIA yang lebih menyayangi kita,

Lebih daripada kita menyayangi diri kita sendiri.

Dengan ukhuwah,

Kita diikat erat dengan aqidah yang sama,

Disegarkan dengan kefahaman:

Siapa hamba?

Siapa Pencipta?

Dan disuburkan juga,

Dengan perjuangan untuk hidup dan mati,

Dengan penuh makna.



Saudaraku,

Serendah-rendah ukhuwah adalah berlapang dada,

Dan setinggi-tinggi ukhuwah adalah ithar,

Iaitu mengutamakan orang lain dari diri sendiri.



Justeru,

Bukan semua kemesraan adalah ukhuwah,

Kerana bukan semua kemesraan dibina atas dasar iman,

Hanya jiwa yang disegarkan dengan iman,

Bisa membentuk manusia,

Yang sanggup berlapang dada,

Dan mengutamakan orang lain.


Bersyukurlah saudaraku dengan hadiah ukhuwah ini,

Sesungguhnya ia adalah anugerah!

اَلْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِيْ اَلَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِنَا فَاَصْبَحْنَا بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً.

Segala puji bagi Allah yang telah mempertautkan hati-hati kami,

Maka dengan nikmatNya,

Jadilah kami bersaudara.

Semoga kita selalu mengingati hadith 13:

عَنْ أَبِيْ حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، خَادِمُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّم عَنِ النَّبِيِّ صلِّى الله عليه وسلَّم قال: لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبّ لِأَخِيْهِ كمَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. [ رواه البخاري ومسلم]

Seseorang diantara kamu tidak dikatakan beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

(Bukhari&Muslim)


Bukankah nikmat yang paling kita harapkan,

Untuk diri kita adalah redhaNya?

Maka itu jualah yang diharapkan untukmu,

Wahai saudaraku.


Saudaraku,

“ Sesungguhnya seorang muslim itu,

Apabila dia berjalan di jalan dakwah,

Dia tidak berjalan dengan hatinya sahaja,

Malah dibawa bersama hati saudaranya,

Justeru,

Setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya,

Pasti akan terbias,

Untuk saudara seperjuangannya.”

-Mustafa Masyhur-


Kerana nikmat yang paling kita harapkan,

Untuk diri kita ialah nikmat hidup dan mati,

Dalam iman kepadaNYA..

Maka itu jualah yang kita harapkan,

Untuk sahabat-sahabat kita.


Saudaraku,

Orang-orang yang hidup di bawah,

Naungan cinta dan ukhuwah kerana Allah,

Akan merasa kebahagiaan,

Dan ketenangan yang tak pernah dirasa,

Oleh orang-orang yang berkumpul kerana urusan duniawi..

Kerana asasnya indah,

Justeru hadiahnya juga indah!

Malah Allah telah menjanjikan,

Syurga dan naunganNya,

Untuk mereka yang bertemu dan berpisah keranaNya!!

Hanya keranaNya!!


Justeru saudaraku,

Jika kita tidak bertemu lagi selepas ini,

Semoga Allah pertemukan lagi,

Kita di Syurga nanti!!!

Amiin!!

Friday, September 17, 2010 0 comments

Puasa Enam Syawal

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menjadi hujah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.

Hikmah Dari Segi Kesihatan

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri.

Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan.

Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.

Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Konsisten

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.

Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya.

Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat?

Puasa Enam dan Puasa Ganti

Persoalan puasa qada dan puasa enam di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada di bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekali gus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qada terlebih dahulu.

Ini adalah kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya.

Di dalam kitab As-Syarqawi 'Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.

Namun, pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekali.

Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekali gus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid.

Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT.

Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha Tuhannya.

from: iluvislam.com
0 comments

Salam Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan buat seluruh umat Islam di dunia.
Sempena hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad SAW bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.
2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan
3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka
4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka
5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala
Menurut Nabi Muhammad SAW Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.
Menjauhi Dosa
Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan.
Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad SAW. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati.
Sakaratul Maut
Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakaratul maut, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikat maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga, kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita.
Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.
Jambatan Menuju Syurga/Neraka
Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas.
Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.
Syurga
Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.
Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.
Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hari raya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.
Aidilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.
Mudah-mudahan hari raya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakaratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.
Tuesday, September 7, 2010 0 comments

Kisah seorang guru dan tiga muridnya

“Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang guru dengan 3 orang anak muridnya dan pada suatu hari, guru tersebut membawa 3 orang anak muridnya itu ke sebuah tempat di hadapan sebuah gua. Guru itu menyuruh 3 orang muridnya tersebut masuk ke dalam gua tersebut dan mengambil apa sahaja yang ada di dalamnya. Lalu ketiga-tiga muridnya itu pun masuklah ke dalam gua tersebut. Apabila mereka tiba di dalam gua tersebut, mereka mendapati keadaan gua tersebut gelap-gelita sehingga tidak dapat melihat apa-apa tetapi, disebabkan ketaatan mereka terhadap guru mereka, mereka mencapai apa sahaja di sekeliling merekadan mereka dapati hanyalah pasir dan sampah-sarap yang berada di situ. Lantas, anak murid yang pertama berfikir, “di sini hanya terdapat sampah dan pasir sahaja, jadi tak perlulah aku ambilnya” fikir anak murid yang pertama tanpa mengambil apa-apa dari gua tersebut. Manakala anak murid kedua juga berfikir tentang perkara sama dengan anak murid yang pertama, tetapi disebabkan teringat akan pesanan gurunya, dia hanya mencapai beberapa benda di sekelilingnya dan dimasukkan ke dalam poketnya. Fikirnya,jika gurunya bertanya, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang akan ditunjukkan kepada gurunya. Manakala murid yang ketiga pula mengambil jubahnya dan membungkus segala benda yang ada di sekelilingnya sehingga penuh jubahnya itu. Di sebabkan jubahnya itu tidak dapat memuatkan dengan muatan yang banyak, dia keluar dengan sekadar yang mampu diambil sahaja.

Setelah mereka semua keluar, guru tersebut bertanya kepada murid-muridnya. Murid yang pertama berkata dia tidak mengambil apa-apa kerana yang ada di dalam gua itu hanyalah sampah dan pasir. Manakala murid yang kedua pula mengeluarkan dari poketnya dan dia berkata dia mengambilnya kerana teringat akan pesan gurunya ambillah apa sahaja dari dalam gua tersebut dan dia hanya mengambil sedikit sahaja benda yang di sekalilingnya. Manakala murid yang ketiga mengeluarkan semua sampah dan pasir yang diambilnya tadi,lantas gurunya tersenyum. Tiba-tiba, semua sampah dan pasir yang diambil oleh murid-murid tersebut bertukar menjadi emas dan mutiara.

Apabila peristiwa itu berlaku, murid yang pertama itu menyesal kerana tidak mengambil apa-apa dari gua tersebut, manakala murid yang kedua pula turut menyesal kerana tidak mengambil sebanyak murid yang ketiga itu ambil, dan murid ketiga turut merasakan satu kerugian kerana tidak dapaat mengambilnya dengan lebih banyak lagi.

****** TAMAT ******


Cerita tersebut kita boleh kaitkan dengan Ramadhan yang kita lalui ini. Jikalau ganjaran pahala yang berganda itu Allah datangkan dengan bergolek di hadapan kita, sudah tentu semua orang tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan ganjaran tersebut dan sudah tentulah pada malam ini, masjid ini tidak dapat memuatkan keseluruhan jemaah masjid terutamanya pada 10 malam terakhir ini… Wallahua’alam.”

Begitulah lebih kurangnya tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Imam masjid Putra Nilai pada malam semalam, iaitu malam ke-28. Hati ini terkesan dengan tazkirah yang disampaikan oleh pak imam tersebut apabila melihat keadaan masyarakat sekeliling kerana kebiasaannya pada malam pemulaan Ramadhan biasanya saf-saf masjid dipenuhi orang ramai, apabila masuk pertengahannya, bilangan para jemaah semakin berkurang dan apabila tiba pengakhirannya bilangannya semakin sedikit dan hanya tinggal beberapa saff sahaja. Terfikir juga, kenapa boleh jadi macam ni ye?? Ermm, takpelah..mungkin kebanyakannya terawikh kat rumah kot.. iyelah, terawikh bukanlah diwajibkan dilakukan di masjid semata-mata kan. So, mungkin para jemaah tersebut lakukan solat terawikh di rumah kan. Wallahua’lam..

 
;