Teringat satu ketika dahulu,
Kau dan aku pernah berpimpin tangan,
Beriringan melangkah menuju satu arah yang sama,
Berganding bahu dalam menggalas amanah bersama,
Bahu membahu di kala aku dan kau sedang lemah,
Saling bersandar di kala kau dan aku ingin hilangkan lelah seketika,
Saling mendengar tatkala ada sesuatu yang kau dan aku perlukan nasihat,
Kau dan aku pernah berjanji,
Pernah ungkapkan,
Ukhuwah yang terbina ini tak akan terputus,
Walau sejauh mana kita terpisah,
Walau sejarak mana kau dan aku berada,
Kita akan terus tetap bersama,
Hubungan kita tidak pernah akan terputus,
Kerana pada waktu itu,
Kau dan aku yakin,
Bilamana hubungan antara kau dan aku,
Diikat dengan rasa cinta kerana-Nya,
Pasti akan tidak akan terputus,
Ia pasti akan berterusan,
Ya!! aku dan kau terus yakin dengannya!
Kini..
Kau dan aku dipisahkan,
Kau di sana dan aku di sini,
Namun aku tetap yakin,
Bahawa ukhuwah kita masih akan tetap utuh,
Kau dan aku masih lagi berhubung walau terpisah,
Namun saat ini,
Tiada lagi kiriman khabar berita darimu untukku,
Mungkin kau sedang sibuk berjuang dengan amanahmu di sana,
Namun bisikan hatiku sering tertanya-tanya...
Adakah kau di sana masih mengingatiku?
Adakah namaku masih lagi diseru dalam doa rabithah mu?
Atau kau sudah melupakan ku di sini?
Aku sering mengintai-intai dirimu dari jauh,
Masihkah ada tanda-tanda kau masih mengingatiku?
Aku menunggu, dan terus menunggu,
Aku menyepi dan kau pun menyepi,
Aku dan kau tidak berhubung lagi seperti dahulu,
Di saat itu aku tertanya-tanya,
Adakah janji kita dahulu,
Hanya sekadar ungkapan di bibir?
Tiada langsung berbekas di hati?
Ya... Ukhuwahku di sini sedang diuji..
Waktu itu aku terlupa,
Bahawa Ukhuwahfillah itu tidak bermakna,
Kau dan aku perlu berhubung setiap masa,
Bukan juga bergantung kepada kekerapan kita berjumpa,
Bukan juga bergantung kepada bilakah kali terakhir kita bertukar cerita.
Namun...
Ukhuwahfillah itu,
Apabila aku dan kau benar-benar berkasih sayang dan cinta kerana Allah,
Apabila aku sering menyebut-nyebut namamu di dalam doaku,
Apabila kau dan aku saling berbaik sangka di kala berbagai persoalan yang datang
Andai aku sedang meragui adakah kau telah lupakan aku,
Aku sendiri perlu lihat pada diri ku adakah aku masih mengingatimu,
Adakah nama mu masih kuseru dalam doa rabithahku?
Andai aku menginginkan dirimu bertanya khabarku,
Aku sendiri perlu memulainya
Andai ukhuwah kita diuji lagi,
Jangan lupa periksalah hati kita,
Periksa iman kita,
Periksa amal kita,
Mungkin kerana itu ukhuwah kita diuji.
Jangan lupa memohon kepada Yang Maha Memelihara,
Agar hati kau dan aku terus dipelihara oleh-Nya.
Agar amal kau dan aku akan terus berterusan,
Agar kita bisa bertemu kelak,
Andai tidak bisa ketemu di dunia,
Moga kau dan aku,
Bisa bertemu dan berpimpin tangan kembali di Syurga kelak.
Allah,
Tolong jagakan dia, dia, dia dan dia untuk ku..
Buat Sahabat.
16.01.16.
Gong Badak, Kuala Terengganu.
"Bila dua diri mencintai Ilahi,
Bergabunglah jiwa, bersatulah hati,
Dua jiwa satu cinta,
Dua jasad satu matlamat,
Bila cinta kerana Allah,
Berpisahnya tidak gelisah,
Bila rindunya kerana Yang Satu,
Bertemunya pasti tak jemu,
Ukhuwah itu indah,
Bertemu dan berpisah kerana Allah.."
Wahai Tuhan Yang membolak-balikkan hati,
Tetapkanlah hatiku dengan agamaMu serta ketaatan kepadaMu...



0 comments:
Post a Comment