Berfirman Allah Ta’ala dalam surah Al-Hujrat ayat 10 :-
﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُواْ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُواْ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ﴾
Yang bermaksud: Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu yang bertelagah itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu peroleh rahmat.
Saudaraku,
Ukhuwah itu menjana bahagia,
Biarpun dengan linangan air mata,
Kerana ukhuwah itu dibina,
Atas asas iman kepada Allah Yang Maha Esa,
Iaitu Pencipta kita,
Sumber kebahagiaan kita,
Dan tempat pergantungan kita.
DIA yang lebih menyayangi kita,
Lebih daripada kita menyayangi diri kita sendiri.
Dengan ukhuwah,
Kita diikat erat dengan aqidah yang sama,
Disegarkan dengan kefahaman:
Siapa hamba?
Siapa Pencipta?
Dan disuburkan juga,
Dengan perjuangan untuk hidup dan mati,
Dengan penuh makna.
Saudaraku,
Serendah-rendah ukhuwah adalah berlapang dada,
Dan setinggi-tinggi ukhuwah adalah ithar,
Iaitu mengutamakan orang lain dari diri sendiri.
Justeru,
Bukan semua kemesraan adalah ukhuwah,
Kerana bukan semua kemesraan dibina atas dasar iman,
Hanya jiwa yang disegarkan dengan iman,
Bisa membentuk manusia,
Yang sanggup berlapang dada,
Dan mengutamakan orang lain.
Bersyukurlah saudaraku dengan hadiah ukhuwah ini,
Sesungguhnya ia adalah anugerah!
اَلْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِيْ اَلَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِنَا فَاَصْبَحْنَا بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً.
Segala puji bagi Allah yang telah mempertautkan hati-hati kami,
Maka dengan nikmatNya,
Jadilah kami bersaudara.
Semoga kita selalu mengingati hadith 13:
عَنْ أَبِيْ حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، خَادِمُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّم عَنِ النَّبِيِّ صلِّى الله عليه وسلَّم قال: لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبّ لِأَخِيْهِ كمَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. [ رواه البخاري ومسلم]
Seseorang diantara kamu tidak dikatakan beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
(Bukhari&Muslim)
Bukankah nikmat yang paling kita harapkan,
Untuk diri kita adalah redhaNya?
Maka itu jualah yang diharapkan untukmu,
Wahai saudaraku.
Saudaraku,
“ Sesungguhnya seorang muslim itu,
Apabila dia berjalan di jalan dakwah,
Dia tidak berjalan dengan hatinya sahaja,
Malah dibawa bersama hati saudaranya,
Justeru,
Setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya,
Pasti akan terbias,
Untuk saudara seperjuangannya.”
-Mustafa Masyhur-
Kerana nikmat yang paling kita harapkan,
Untuk diri kita ialah nikmat hidup dan mati,
Dalam iman kepadaNYA..
Maka itu jualah yang kita harapkan,
Untuk sahabat-sahabat kita.
Saudaraku,
Orang-orang yang hidup di bawah,
Naungan cinta dan ukhuwah kerana Allah,
Akan merasa kebahagiaan,
Dan ketenangan yang tak pernah dirasa,
Oleh orang-orang yang berkumpul kerana urusan duniawi..
Kerana asasnya indah,
Justeru hadiahnya juga indah!
Malah Allah telah menjanjikan,
Syurga dan naunganNya,
Untuk mereka yang bertemu dan berpisah keranaNya!!
Hanya keranaNya!!
Justeru saudaraku,
Jika kita tidak bertemu lagi selepas ini,
Semoga Allah pertemukan lagi,
Kita di Syurga nanti!!!
Amiin!!


0 comments:
Post a Comment