“Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang guru dengan 3 orang anak muridnya dan pada suatu hari, guru tersebut membawa 3 orang anak muridnya itu ke sebuah tempat di hadapan sebuah gua. Guru itu menyuruh 3 orang muridnya tersebut masuk ke dalam gua tersebut dan mengambil apa sahaja yang ada di dalamnya. Lalu ketiga-tiga muridnya itu pun masuklah ke dalam gua tersebut. Apabila mereka tiba di dalam gua tersebut, mereka mendapati keadaan gua tersebut gelap-gelita sehingga tidak dapat melihat apa-apa tetapi, disebabkan ketaatan mereka terhadap guru mereka, mereka mencapai apa sahaja di sekeliling merekadan mereka dapati hanyalah pasir dan sampah-sarap yang berada di situ. Lantas, anak murid yang pertama berfikir, “di sini hanya terdapat sampah dan pasir sahaja, jadi tak perlulah aku ambilnya” fikir anak murid yang pertama tanpa mengambil apa-apa dari gua tersebut. Manakala anak murid kedua juga berfikir tentang perkara sama dengan anak murid yang pertama, tetapi disebabkan teringat akan pesanan gurunya, dia hanya mencapai beberapa benda di sekelilingnya dan dimasukkan ke dalam poketnya. Fikirnya,jika gurunya bertanya, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang akan ditunjukkan kepada gurunya. Manakala murid yang ketiga pula mengambil jubahnya dan membungkus segala benda yang ada di sekelilingnya sehingga penuh jubahnya itu. Di sebabkan jubahnya itu tidak dapat memuatkan dengan muatan yang banyak, dia keluar dengan sekadar yang mampu diambil sahaja.
Setelah mereka semua keluar, guru tersebut bertanya kepada murid-muridnya. Murid yang pertama berkata dia tidak mengambil apa-apa kerana yang ada di dalam gua itu hanyalah sampah dan pasir. Manakala murid yang kedua pula mengeluarkan dari poketnya dan dia berkata dia mengambilnya kerana teringat akan pesan gurunya ambillah apa sahaja dari dalam gua tersebut dan dia hanya mengambil sedikit sahaja benda yang di sekalilingnya. Manakala murid yang ketiga mengeluarkan semua sampah dan pasir yang diambilnya tadi,lantas gurunya tersenyum. Tiba-tiba, semua sampah dan pasir yang diambil oleh murid-murid tersebut bertukar menjadi emas dan mutiara.
Apabila peristiwa itu berlaku, murid yang pertama itu menyesal kerana tidak mengambil apa-apa dari gua tersebut, manakala murid yang kedua pula turut menyesal kerana tidak mengambil sebanyak murid yang ketiga itu ambil, dan murid ketiga turut merasakan satu kerugian kerana tidak dapaat mengambilnya dengan lebih banyak lagi.
****** TAMAT ******
Cerita tersebut kita boleh kaitkan dengan Ramadhan yang kita lalui ini. Jikalau ganjaran pahala yang berganda itu Allah datangkan dengan bergolek di hadapan kita, sudah tentu semua orang tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan ganjaran tersebut dan sudah tentulah pada malam ini, masjid ini tidak dapat memuatkan keseluruhan jemaah masjid terutamanya pada 10 malam terakhir ini… Wallahua’alam.”
Begitulah lebih kurangnya tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Imam masjid Putra Nilai pada malam semalam, iaitu malam ke-28. Hati ini terkesan dengan tazkirah yang disampaikan oleh pak imam tersebut apabila melihat keadaan masyarakat sekeliling kerana kebiasaannya pada malam pemulaan Ramadhan biasanya saf-saf masjid dipenuhi orang ramai, apabila masuk pertengahannya, bilangan para jemaah semakin berkurang dan apabila tiba pengakhirannya bilangannya semakin sedikit dan hanya tinggal beberapa saff sahaja. Terfikir juga, kenapa boleh jadi macam ni ye?? Ermm, takpelah..mungkin kebanyakannya terawikh kat rumah kot.. iyelah, terawikh bukanlah diwajibkan dilakukan di masjid semata-mata kan. So, mungkin para jemaah tersebut lakukan solat terawikh di rumah kan. Wallahua’lam..


0 comments:
Post a Comment