Tuesday, September 20, 2011 0 comments

semester baru

Bismillahirrahmanirrahim……

Ku mulakan coretanku pada semester baru ini dengan ucapan Alhamdulillah, kerana hari ini masih lagi diberikan peluang oleh Allah untuk terus mengirup udara yang segar di bumi Allah ini bagi meneruskan kehidupan sebagai seorang hambaNya yang hina di sisiNya, bagi meneruskan kehidupan sebagai khalifah, sebagai seorang da’ie, seorang anak, seorang pelajar, seorang sahabat yang masih belum selesai menyempurnakan segala tanggungjawab yang telah ditaklifkan di bahu ini.

Semester baru? Ada apa dengan semester baru? Betulkah makin banyak tanggungjawab? Ya, tepat sekali! Memang semakin banyak. Semakin banyak kerja yang perlu dilakukan. Semakin bertambah subjek yang perlu diambil. Semakin banyak amanah yang perlu digalas. Semakin banyak yang perlu disampaikan pada yang lain. Semakin banyak amanah yang perlu digalas. Jadi, semakin bertambah umur semakin bertambahlah tanggungjawab kan? Dan ana baru mendapat satu kerja, satu amanah, satu tanggungjawab extra yang merupakan sebuah hadiah oleh Allah sebagai jalan pintas untuk ke syurga sekiranya ia dipikul dengan seikhlas hati, dengan penuh rasa tanggungjawab dan jika ianya hanyalah kerana Allah.


Ya Allah,

Ikhlaskanlah hati ini dalam melaksanakan segala amanah yang kau letak di bahuku,

kuatkanlah aku untuk terus istiqamah dalam menempuh jalan ini..


apa kata hati?

  • Muhasabah kembali adakah benar diri ini berjaya mendapatkan ijazah di Universiti Ramadhan yang lalu? Kenapa masih lagi ku ulangi perkara yang sama dengan yang telah ku lakukan sebelum mendaftar di universiti itu? Adakah Ramadhan kali ini masih belum benar-benar mentarbiah diri ini...
  • Recheck iman, hati,amal.


"Wahai Tuhan Yang membolak-balikkan hati,
Tetapkanlah hatiku di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu"

Sunday, August 28, 2011 0 comments

# Day 29


بسم الله الرحمن الرحيم

Masa begitu pantas meninggalkan kita. Detik demi detik terasa begitu cepat berlalu, seolah-olah tidak sabar meninggalkan kita semua. Ramadhan juga bakal melabuhkan tirainya untuk memberi laluan kepada takbir kemenangan yang menjadi penanda bahawa Syawal ingin membuka tirainya. Takbir kemenangan dan hadiah ke atas kejayaan kita bermujahadah selama sebulan. Namun begitu, benarkah takbir yang bakal kedengaran itu adalah satu kemenangan? Adakah benar kita telah berjaya menggenggam segulung ijazah di Universiti Ramadhan? Adakah ijazah itu dapat menjadi bekalan sepanjang 11 bulan yang akan datang? Dan adakah setelah perginya Ramadhan, amalan-amalan yang dilakukan selama 1bulan itu akan kita laksanakan


secara berterusan atau hanya dilaksanakan apabila tiba Ramadhan yang akan datang? Persoalannya, adakah kita akan bertemu lagi dengannya pada tahun hadapan? Jika begitu, adakah ini satu petanda kita benar-benar berjaya mendapat ijazah Ramadhan?


Satu analogi:

Seorang pelajar akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan CGPA 4.00 atau anugerah dekan pada setiap semester. Kerana apa? Kerana apabila bergraduasi nanti akan mendapat 1st class degree honour ditambah lagi dengan soft skill yang sangat membanggakan lalu mudah untuk dia mendapatkan kerja yang baik. Dan apabila dia telah bekerja, dia menggunakan sepenuhnya ilmu serta pengalaman yang didapati sepanjang kehidupan di universiti. Hasilnya, telah berjaya menguasai dan menggunakan apa yang dipelajari ketika di universiti dengan sebaiknya sehingga ilmu itu mampu menjadi bekalan kepadanya di alam pekerjaan.

Begitulah yang seharusnya berlaku kepada kita setelah berjaya ber ‘graduate’ di Universiti of Ramadhan, segala amalan yang dilakukan mampu menjadi bekalan sepanjang perjalanan dalam kehidupan yang di tempuh pada 11bulan yang seterusnya.. [credit to Makcik Lah ketika penyampaiannya di UG bersama makcik-makcik dan akhawat Kuala Terengganu dalam pengisian Ihya’ Ramadhan]

Jom Muhasabah.. Cek balik Muttaba’ah Amal kita dan renungkan adakah amal ibadah kita sudah sempurna. Dan adakah amalan-amalan tersebut di terima Allah? Jom perbanyakkan doa agar segala amal ibadah tersebut diterima di sisiNya dan kita akan mendapat keampunan dari Nya.

Ya Allah..

Inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya Engkau turunkan Al-Quran

Aku berlindung dengan kekuasaan-Mu yang mulia,

Wahai Pemilik fajar yang terbit dari malam-malamku,

Dan pemilik bulan Ramadhan yang hampir berlalu ini,

Kepada-Mu aku mengadu

Akan kesahanku dan dosaku yang dengannya

ENGKAU akan menyeksaku pada hari perjumpaan dengan-Mu kelak,

Ampunilah aku

Ya Allah..

Janganlah ENGKAU jadikan puasa ini

Sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku,

Seandainya ENGKAU menetapkan sebaliknya,

Maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati,

Bukan yang sia-sia.

Ya Allah..

Jadikanlah puasaku ini

Di dalamnya mendapat pahala serta diterima

Sebagai amalan yang mendatangkan keredhaanMu dan Rasul-Mu.

Ya Allah..

Perbaikilah untukku agamaku,

Yang merupakan penjaga urusanku.

Dan perbaikilah untukku duniaku,

Yang di dalamnya adalah kehidupanku.

Dan perbaikilah untukku akhiratku,

Yang kepadanya aku kembali.

Dan jadikanlah kehidupan ini,

Untukku berbuat kebaikan.

Dan kematian menghentikanku daripada setiap kejahatan.

Ya Allah..

Bebaskanlah aku daripada seksa api neraka,

Dan lapangkanlah untukku rezeki yang halal,

Dan palingkanlah daripadaku

Kefasikan jin dan manusia,

Wahai Zat Yang Hidup dan terus-menerus

Mengurus makhlukNya..

Amin Ya Rabbal ‘Alamin..

Wallahua’lam..


apa kata hati?

  • masa yg berlalu terasa begitu pantas.
  • rasa sedih dan sayu kerana tetamu yang mulia sudah ingin mengundurkan diri.
  • Moga kita akan dipertemukan lagi dengan Ramadhan di tahun hadapan.
  • saat untuk meninggalkan bumi penyu semakin hampir, dan akan kembali berjuang di bumi Nilai.
  • Alhamdulillah,diberikan kesempatan untuk berukhuwah bersama akhawat di Kuala Terengganu sepanjang cuti ini. walaupun selepas ini masing2 akan bertebaran di tempat masing2, namun kita masih lagi akan bersama di jalan ini dan tetap akan disatukan di bawah kalimah syahadah yang mulia.
  • selamat hari raya aidilfitri diucapkan untuk semua,maafkan segala kekhilafan sama ada yang disengaja atau tidak di sengajakan.

"Wahai Tuhan yang membolak-balikan hati,
Tetapkanlah hatiku di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu"

Sunday, August 21, 2011 0 comments

Day #21

بسم الله الرحمن الرحيم

Sedar tak sedar, hari ini sudah masuk hari ke-21 kita berpuasa. Begitu pantas masa berlalu, seolah-olah tidak sabar untuk meninggalkan kita semua. Masa yang sudah berlalu, tidak bisa diputar kembali. Kita akan terus melangkah, kita akan terus berjalan, meninggalkan hari-hari yang telah berlalu. Namun begitu, bukan bermakna sepanjang perjalanan kita, kita tidak boleh menoleh ke belakang untuk seketika kerana kita juga perlu melihat hari-hari yang telah berlalu, yang telah kita tinggalkan untuk kita bermuhasabah dan tidak mengulangi kesilapan yang telah kita lakukan sebelum ini, untuk menjadikan hari ini dan hari-hari yang akan datang lebih bermakna.


Tiba-tiba beberapa rangkap lirik lagu Harapan Ramadhan kembali menjengah di mindaku.

“Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna..”

“ Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja”

Seringkali kita mendengar, setiap kali Ramadhan itu hampir tiba, ramai yang berazam seperti ini:

“ moga-moga Ramadhan kali ini akan dilalui dengan penuh makna”

“ moga-moga ramadhan ini akan lebih baik daripada Ramdhan yang lalu”


Allahu Akbar!! Sungguh bagus, sungguh hebat azam masing-masing. Jom kita merenung dan berfikir sejenak, adakah 20 hari yang telah berlalu telah membuktikan bahawa kita telah berusaha untuk mencapai apa yang telah kita hajati dan azamkan? Kerana keazaman yang tinggi jika tidak disertakan dengan usaha-usaha, pasti tidak akan membuahkan hasil. Jadi, untuk mendapatkan Ramadhan yang lebih baik, dan jika kita tidak ingin Ramadhan ini berlalu dengan begitu sahaja, kita yang perlu berusaha untuk mendapatkan Ramadhan yang terbaik! Kerana kita tidak tahu, adakah kita masih berpeluang untuk bertemu dengannya.


Andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita, alangkah ruginya jika kita tidak cuba untuk mendapatkan “special offer” yang telah Allah berikan pada kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Jadi dengan Ramadhan yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi ini, Ayuh! Kita semua bangkit untuk sama-sama berlumba melakukan kebaikan, Yuk! bersama-sama memburu malam yang lebih baik dari 1000 bulan! Jangan lupa untuk berdoa:


“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mencintai pengampunan, maka ampunkanlah aku.” Kerana dalam sebuah hadis di mana ketika Aisyah bertanya kepada Rasulullah :


“ Wahai Rasulullah,apa pendapatmu jika aku mengetahui lailatulqadar, apa yang harus aku ucapkan di dalamnya?” Baginda menjawab, katakanlah: Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mencintai pengampunan, maka ampunkanlah aku.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah.)





photo from: Brotherhood Arts


Berkerjalah seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya,

Beribadahlah seolah-olah kita akan mati esok hari.

Fastabiqul Khairat!!!!

wallahua'lam..


nota kaki: pagi semalam sempat menghadiri uskab di masjid terapung (kemungkinan uskab yang terakhir.. T_T ) dan iftor bersama akhawat unisza, umt n ipg di Al-Amin KT semalam.. :)


“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati,

Tetapkanlah hati ku di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu.”

Sunday, August 14, 2011 0 comments

Day #14

photo taken from : Brotherhood Arts


Alhamdulillah, tanpa kita sedari kita telah pun sampai ke fasa ke-2 dalam bulan Ramadhan. Iaitu fasa keampunan (maghfirah). Jom cek balik diri kita dan amalan-amalan yang kita kerjakan pada 13 hari yang telah berlalu pergi. Adakah kita telah berusaha untuk mengaut keuntungan pada fasa 1 (rahmah) . Jika tidak, yuk kita sama-sama segera bangkit untuk mengutip serta mengambil peluang yang sebaik-baiknya di fasa ke-2 ini.

Di Fasa keampunan ini, banyak-banyakkanlah memohon keampunan dari Allah, jangan lepaskan bonus dari Allah ini!

Jom amalkan doa ini :

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا

Allahumma innaka ‘afuuwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annaa

Maknanya : Ya Allah, sesungguhnya Engkau amat pemaaf, menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami.

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati,

Tetapkanlah hati-hati kami di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu.”

 
;