Sunday, August 21, 2011

Day #21

بسم الله الرحمن الرحيم

Sedar tak sedar, hari ini sudah masuk hari ke-21 kita berpuasa. Begitu pantas masa berlalu, seolah-olah tidak sabar untuk meninggalkan kita semua. Masa yang sudah berlalu, tidak bisa diputar kembali. Kita akan terus melangkah, kita akan terus berjalan, meninggalkan hari-hari yang telah berlalu. Namun begitu, bukan bermakna sepanjang perjalanan kita, kita tidak boleh menoleh ke belakang untuk seketika kerana kita juga perlu melihat hari-hari yang telah berlalu, yang telah kita tinggalkan untuk kita bermuhasabah dan tidak mengulangi kesilapan yang telah kita lakukan sebelum ini, untuk menjadikan hari ini dan hari-hari yang akan datang lebih bermakna.


Tiba-tiba beberapa rangkap lirik lagu Harapan Ramadhan kembali menjengah di mindaku.

“Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna..”

“ Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja”

Seringkali kita mendengar, setiap kali Ramadhan itu hampir tiba, ramai yang berazam seperti ini:

“ moga-moga Ramadhan kali ini akan dilalui dengan penuh makna”

“ moga-moga ramadhan ini akan lebih baik daripada Ramdhan yang lalu”


Allahu Akbar!! Sungguh bagus, sungguh hebat azam masing-masing. Jom kita merenung dan berfikir sejenak, adakah 20 hari yang telah berlalu telah membuktikan bahawa kita telah berusaha untuk mencapai apa yang telah kita hajati dan azamkan? Kerana keazaman yang tinggi jika tidak disertakan dengan usaha-usaha, pasti tidak akan membuahkan hasil. Jadi, untuk mendapatkan Ramadhan yang lebih baik, dan jika kita tidak ingin Ramadhan ini berlalu dengan begitu sahaja, kita yang perlu berusaha untuk mendapatkan Ramadhan yang terbaik! Kerana kita tidak tahu, adakah kita masih berpeluang untuk bertemu dengannya.


Andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita, alangkah ruginya jika kita tidak cuba untuk mendapatkan “special offer” yang telah Allah berikan pada kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Jadi dengan Ramadhan yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi ini, Ayuh! Kita semua bangkit untuk sama-sama berlumba melakukan kebaikan, Yuk! bersama-sama memburu malam yang lebih baik dari 1000 bulan! Jangan lupa untuk berdoa:


Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mencintai pengampunan, maka ampunkanlah aku.Kerana dalam sebuah hadis di mana ketika Aisyah bertanya kepada Rasulullah :


“ Wahai Rasulullah,apa pendapatmu jika aku mengetahui lailatulqadar, apa yang harus aku ucapkan di dalamnya?” Baginda menjawab, katakanlah: Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mencintai pengampunan, maka ampunkanlah aku. (Hadis Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah.)





photo from: Brotherhood Arts


Berkerjalah seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya,

Beribadahlah seolah-olah kita akan mati esok hari.

Fastabiqul Khairat!!!!

wallahua'lam..


nota kaki: pagi semalam sempat menghadiri uskab di masjid terapung (kemungkinan uskab yang terakhir.. T_T ) dan iftor bersama akhawat unisza, umt n ipg di Al-Amin KT semalam.. :)


“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati,

Tetapkanlah hati ku di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu.”

0 comments:

 
;