Wednesday, September 1, 2010 0 comments

Lailatul Qadr

Umat Islam di seluruh dunia sudah memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

(Quran, Al-Qadr 97: 1-5)
Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud:

"Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan"

(Surah al-Qadr, ayat 3).

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.
Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya:

Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.

(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari."Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.
Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah.

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu'

[Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :

"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut.

(Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam,dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam

(sumber yang sama - 6342)."

from: iluvislam.com

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang soleh, InsyaAllah.
0 comments

Ramadhan

" Ya ALLAH..
Inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya Engkau turunkan al-Quran,
Aku berlindung dengan kekuasaanMu yang mulia,
Wahai Pemilik fajar yang terbit dari malam-malamku,
dan Pemilik bulan Ramadhan yang hampir sampai ke penghujungnya ini.
KepadaMu aku mengadu akan kesalahan dan dosaku,
yang dengannya ENGKAU akan menyeksaku pada perjumpaan denganMu kelak.

Ya ALLAh..
Janganlah ENGKAU jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku,
Seandainya ENGKAU menetapkan sebaliknya,
Maka, jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati,
bukan sia-sia.

Ya ALLAH..
Jadikanlah puasaku di dalamnya mendapat pahala,
Serta diterima sebagai amalan yang mendatangkan keredhaanMu dan RasulMu,
Serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok,
Dengan hak kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W
Dan ahli keluarga baginda yang suci"

Amin..
Monday, August 2, 2010 0 comments

Bicara Tentang Alam..


Pernah atau tidak dalam sesuatu masa kita cuba untuk mentadabbur serta menghayati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T ini? Setiap satu makhluk ciptaan Allah, tidaklah Allah jadikannya sia-sia sahaja. Semuanya mempunyai manfaatnya tersendiri. Contohnya, jika kita lihat pokok kelapa, adakah Allah jadikannya tanpa sedikit pun manfaat? Sudah tentu tidak sama sekali kerana setiap bahagian pada pokok kelapa mempunyai manfaatnya tersendiri seperti daunnya kita boleh gunakannya untuk menganyam ketupat, lidinya pula boleh dijadikan penyapu serta pencucuk makanan, buahnya yang muda boleh diminum airnya dan dimakan isinya, manakala bagi buah kelapa yang telah tua digunakan untuk dijadikan santan serta minyak kelapa, batangnya pula boleh dijadikan titi. Lihatlah, inilah pokok kelapa. Dari sini kita dapat katakan bahawa setiap bahagian pada pokok kelapa mempunyai kegunaanya.

Hebat bukan? Sedangkan dengan hanya sebatang pokok kelapa boleh menyediakan pelbagai kegunaan kepada manusia yang kita sendiri tahu kegunaan tersebut, tetapi kita sendiri tidak pernah cuba dan tidak pernah terfikir untuk menganalisa kelebihan-kelebihan tersebut sebelum ini. Jika kita fikir betapa hebatnya kejadian serta penciptaan pokok kelapa yang dapat memberikan pelbagai faedah kepada manusia ini, kita sepatutnya lebih sedar bahawa ada lagi yang lebih hebat daripada pokok kelapa itu. Apakah yang lebih hebat itu? Adakah yang lebih hebat daripada pokok kelapa adalah manusia? Hmm... itu sememangnya sesuatu perkara yang tak dapat dinafikan lagi bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian, tetapi di sini yang ingin saya sebutkan sudah tentunya adalah hebatnya Allah S.W.T yang mampu melakukan segala sesuatu sehingga wujudnya alam ciptaanNya yang mempunyai berbagai-bagai fungsi dan kegunaanya tersendiri.

Sebenarnya, di sini saya ingin mengajak agar kita sama-sama merenung kembali penciptaan makhluk Allah yang terdapat di sekeliling kita. Kita ambil contoh yang mudah, biasanya apa yang ada di sekeliling kita? Dan kita pilih yang mungkin kebanyakan orang tidak akan berfikir banyak tentangnya iaitu rumput. Apa yang ada pada rumput? Apa yang istimewa tentangnya? Kenapa di kebanyakan tempat adanya rumput? Malah ada juga orang yang menanamnya walaupun rumput itu tidak menghasilkan bunga? Pernah tak kita cuba menghayati ciptaan Allah yang ada di mana-mana sahaja ini?

Seperti yang telah kita ketahui, rumput sebenarnya dapat menahan hakisan tanah disebabkan oleh akar serabutnya yang mencengkam tanah dengan kuat dan dapat menghalang air daripada menembusi tanah dengan mudah yang boleh mengakibatkan hakisan tanah. Hebat atau tidak? Tanah dan batu yang keras itu dapat dihalang hakisannya oleh rumput yang selama ini hanya dianggap remeh oleh kita kerana rumput tidak dapat menghasilkan sesuatu yang lumayan kepada kita kerana rumput tidak menghasilkan buah-buahan atau bunga-bungaan yang berwarna-warni. Simboliknya di sini, kita boleh aplikasikannya dalam kehidupan kita sebagai manusia agar tidak rasa terlalu rendah diri dan menganggap kita ini terlalu banyak kekurangan, sebaliknya kita perlu mengetahui potensi dalam diri kita untuk berbakti kepada agama dan masyarakat kerana pada setiap orang, Allah telah ciptakannya dengan keunikan serta keistimewaan masing-masing.

Semasa kita berjalan-jalan di bawah pokok, di tepi jalan, di sebuah padang atau di mana-mana tempat yang rumputnya menghijau, dan kita pijak rumput tersebut, apakah yang kita rasakan? Adakah rumput itu keras seperti kayu ataupun batu? Sudah tentu tidak kan? Kerana sifatnya yang lembut dan mudah lentur itu kita boleh pijak dengan selesa dan pernahkah kita terfikir rumput yang kita pijak berulang kali itu masih mampu bertahan di situ? Apabila kita pijak dia melentur, kemudian kembali ke bentuk asalnya. Bayangkan seandainya sifat rumput itu keras, apakah yang akan berlaku? Sudah tentu akan menyakitkan kita yang memijaknya malah, sudah tentu akan patah apabila manusia terpijaknya. Di sini, kita dapat pelajari sifat lembut daripada rumput di mana bukanlah satu kelemahan kepada kita jika kita mempunyai sifat lemah-lembut, malahan berkemungkinan akan menjadi satu kekuatan kepada kita kerana kita pun tahu bahawa Islam turut menganjurkan umatnya agar bersifat lemah-lembut. Contohnya, apabila kita lihat dua orang sahabat kita. Seorang daripadanya mempunyai sifat lemah-lembut, mudah ditegur dan tegas. Manakala seorang lagi mempunyai sifat panas baran dan sukar bertolak-ansur. Yang manakah akan menjadi pilihan utama kita untuk kita dekati? Sudah tentunya yang bersifat lemah-lembut kan? Jadi di sini kita boleh pelajari bahawa sifat lemah-lembut serta bertolak-ansur sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang dai’e.

Selain itu, ada lagi perkara lain yang kita boleh ambil pengajaran daripada rumput. Setakat ini, pernah kita melihat rumput yang hanya tumbuh bersendirian? Hanya satu di tempat yang lapang? Tak pernah kan. Apabila tumbuh, dia akan tumbuh kelompok demi kelompok sehingga memenuhi satu padang yang hijau dan mampu mendamaikan hati apabila melihatnya. Untuk memenuhi sebuah padang, sudah tentu mengambil masa yang agak lama tetapi ia tetap konsisten. Itulah rahsianya, iaitu konsisten untuk memnuhi sesebuah kawasan tersebut.

Jadi, di sini kita boleh ambil sedikit pengajaran bahawa kita mestilah hidup bersatu padu dalam sebuah keluarga, organisasi dan masyarakat dengan mengadakan pelbagai aktiviti walaupun secara kecil-kecilan tetapi perlulah istiqamah dan ikhlas melaksanakannya. Jika kita tidak hidup dalam jemaah dan tidak bersatu padu, kita akan mudah tergugat dan musuh juga senang untuk menyerang kita.

Jadi di sini, banyak yang kita selalu pijak itu. Mungkin kita akan katakan kenapa kita perlu mengambil pengajaran daripada rumput yang berada di bawah itu yang menjadi tempat untuk kita pijak itu? Benar, tetapi jangn kita lupa bahawa orng yang berada di bawah itu bukanlah bermaksud orang yang lemah, tetapi mungkin lebih kuat daripada kita. Kita boleh lihat rumput contohnya, walaupu dilanda ribut, banjir, serta kemarau, ia akan masih terus berada di situ juga. Sebenarnya, semua perkara jika kita dapat menghayati dan renungnya dengan mata hati, InsyaAllah kita akan memperolehi sesuatu yang bermanfaat darinya. Wallahua’alam.

Sedikit coretan mengenai alam ciptaan Allah yang kita boleh ambil serba sedikit pengiktibarannya. Coretan ini sebenarnya terlahir apabila melihat alam ciptaan Allah yang indah ini dan juga ditambah lagi daripada pembacaan buku “ Nota Fikir untuk Zikir” yang ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi.

12.27 a.m. 01/08/10

Sunday, July 4, 2010 0 comments

Dialog Cinta

Peringatan dari sahabat untukku dan ingin dikongsikan di sini..

Kami tidak berzina!
Maaf saya tidak menuduh awak berzina, tetapi awak menghampiri zina. Kami hanya berbual-bual, berbincang..bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakahitu menghampiri zina? Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah penzinaan. Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat kearah itu. Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang. Iblis akan memerangkap kamu. Iblis amat berpelangaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat pesanan Rasulullah:
Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan (Tabrani).
Kita lemah menghadapi tipu daya iblis.
Tidak semestinya semua orang bercinta menjerumus kepada penzinaan. Ada yang bercinta dalam telefon dan hantar SMS saja. Tidak pernah bersua muka pon! Betul. Tapi itu adalah sesuatu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora. Lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu akan membawa kepada penzinaan akhirnya/? Takkan nak berbual-bual pon tak boleh?Itupun zina ke? Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya. Ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan mata berahi.Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah :
Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki berzina dan zinanya adalah menuju tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman.(Muslim dan Abu Daud).
Sebenarnya jalan menuju penzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan penzinaan. Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja*(bagi kes belajar berdua-duaan sahaja)* Berdiskusi pelajaran? Betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit dalam hati hamba-hyambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia, akhirat lagilah. Jangan berselindung di sebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah.Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan ditulis oleh malaikat rakib dan atid. Sungguh! Berbincang pelajaran sahaja! Ni study group.(bagi kes berdua-duaan sahaja) Study group….?Nampak lain macam saja. Manja, senyum memanjang,tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group brdua saja? Ke mana-mana pun berdua. Kalau ye pun, carilah study group ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni, betul ke bincang pelajaran.?Jangan-jangan sekejap saja berbincang pelajaran,yang lain tu………banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta! Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran! Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat,tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah fitrah manusia. Kami berdua sama-sama belajar. Study group.Saling memberi semangat dan motivasi. Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang yang cemerlang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula. Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan islam untuk bercinta? Adakah islam membunuh terus naluri bercinta/? Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud dalam diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan dating untuk membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak menyuruh membunuh naluri seperti yang dilakukan paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong ada diri sendiri. Bukan salah atau berdosa jika perasaan itu dating tanpa diundang. Ituadalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu dan patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. JAngan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu. Tentu ada cinta secara islam. Cinta secara islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab Kabul, cinta selepas kahwin.Itulah cinta suci dan kudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan islam. Apabila islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik.Sabda Rasulullah :
Tidak ada yang lebih patut dari dua orang yang saling mencintai kecuali nikah.(ibnu Majah).
Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.

Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri penzinaan/.? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu, tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang hingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin. Baru semalam, bukankah mereka sudah hamper dengan penzinaan?Berapa ramai orang bercinta telah sampai ke daerah penzinaan dan kesengsaraan. KAsihanilah diri dan ibubapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun! Masih ramai orang bercinta tetapi tetap selamat tidak berzina. Kami tahan diuji! Allah yang menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang. Jadi manusia tidak tahan diuji? Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia.Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak makan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan pada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok khuldi itu.
Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok khuldi.(jika kamu menghampirinya)maka kamu adalah orang-orang yang zalim.(al-Araf:19).

Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi.Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka memakannya. Demikianlah dengan zina.Ditegah berzina. Maka jalan ke arah penzinaan adalah dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya kecundang. Cukuplah kita belajar dari pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa. Tetapi cinta selepas berkahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum membuat keputusan berkahwin. Bolehkah percaya dengan perwatakan semasa bercinta? Bercinta penuh lakonan dan kepura-puraan. Masing-masing berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, pemurah, penyabar dan pelbagai lagi. Masa bercinta, merajuk ada yang pujuk. Jangan harap selepas kahwin, bila merajuk akan ada orang yang pujuk. Banyak orang tertipu dan kecewa dengan keperibadian orang semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang penyayang, penyabar…sanggup tunggu pasangan berjam-jam.Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit dah kena tengking. Jadi perwatakan semasa bercinta tidak boleh dipercayai.Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti. Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan hanyakepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat kebahagiaan, jika jalan mendapatkan kebahagiaan tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumahtangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga bahagia jika langkah mula sudah canggung, bagaimanakah kesudahannya? Tanya sikit….adik angkat, abang angkat, kakak angkat, boleh ke??Ganti bercinta Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya tetap sama. Adik angkat, abang angkat, kakak angkat, adalah satu bentuk tipu daya syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa dikorbankan. Namakan apa saja sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semua adalah sama. Jalan akhirnya tetap akan bertemu zina. Jadi seolah-olah orang bercinta telah hilang maruah diri? Mengukur maruah diri bukan ditentukan manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. CIntanya ditumpah kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu, ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah taala. Adakah orang yang bercinta hilang maruah? Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina.Allah berfirman :

Lelaki berzina(lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan berzina pula tidak ingin berkahwin kecuali dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman.(surah An-Nur:3)
Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu penghinaan dariTuhan?Jadi orang yang pernah bercinta hanya layak dengan orang yang pernah bercinta juga? Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik. Kami telah berjanji sehidup semati! Apa ada pada janji cinta?Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah/?Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan saja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah. Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab. Tahukah hati budi lelaki?Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seorang wanita sebagai isteri dan ibu anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki. Jadi, perempuan yang bercinta jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?(tidak ada dalam syariat) Tentu. Mana ada lelaki normal suka pada barang second hand sedangkan barang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata, sekadar sepinggan mee goring dan segelas sirap bandung., bawalah ke hulur ke hilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya. Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini? Ya, masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlahnya kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah :
Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya dan orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya( yang memelihara diri dari melakukan zina) Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (surah Al-Ahzab:35)
Bagaimana kami? Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha. Taubat yang murni. Taubat sebenar-benarnya.
Taubat yang memenuhi 3 syarat : Tinggalkan perbuatan maksiat,Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.Menyesal. Menginsafi diri di atas tindak tanduk yang menjurus kea rah percintaan. Berazam. Bertekad dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali yang bernama isteri atau suami.
Saatnya adalah selepas ijab Kabul. Ingatlah semakin bebas pergaulan sebelum kahwin, semakin hambar dan kurang rasa cinta setelah menjadi suami isteri.
Ya Allah, hambaMu ini telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambaMu ini.Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan penerima taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jaga diriku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasih itu kepada orang lain. Oh Tuhan, hambaMu ini berdosa…Amin yarabbal alamin… Moga Allah terima taubatmu. Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh tidak ke mana! Ya Allah bantulah mereka. Kini mereka datang kepintuMu mencari redhaMu. Terimalah taubat mereka.



 
;